TABIAT zaman berzaman orang Vietnam yang suka menyorokkan emas di rumah daripada menyimpan wang di bank dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh kerajaan negara itu. Semuanya gara-gara harga emas yang terus melambung tinggi.Berdasarkan Majlis Emas Dunia tahun lalu, Vietnam membeli lebih banyak emas perkapita berbanding India dan China. Harga emas domestik di Vietnam pula meningkat 18 peratus jauh lebih tinggi daripada harga pasaran emas dunia yang menyaksikan kenaikan 11 peratus.Sememangnya tabiat yang sudah diamalkan turun temurun itu sukar dikikis.
Walaupun harga satu auns (28.4 gram) jongkong emas di Hanoi lebih RM300 berbanding di tempat lain, tetapi penduduk negara komunis itu tetap membelinya, kata pesara berumur 60 tahun, Truong Van Hue.“Saya masih suka melihat simpanan saya dalam bentuk emas. Ia lebih selamat bagi pesara macam saya. Saya boleh jual emas pada bila-bila masa, di mana-mana apabila memerlukan wang,” katanya. Walaupun emas dianggap sebagai simpanan selamat, tetapi tindakan penduduk yang ‘menyerbu’ kedai emas membuka mata kerajaan Vietnam apabila mereka berhadapan dengan kadar inflasi sebanyak 18 peratus dan ketidakstabilan mata wang tempatan, dong.
Kerajaan cuba memperlahankan ‘demam emas’ dengan cuba mengawal perniagaan logam berharga itu selepas hampir 20 tahun mereka memberikan kebenaran rasmi kepada penduduk memiliki dan berniaga emas, walaupun perkara itu sudah diamalkan sejak berzaman lalu. Antara langkah yang cuba dilakukan kerajaan tahun lalu ialah memasukkan dekri atau perintah yang meletakkan perniagaan jongkong emas Saigon Jewelry Company, pembuat dan pedagang emas terkemuka di Vietnam di bawah kawalan bank pusat.
Dekri itu juga mengehadkan perniagaan peniaga emas kecil-kecilan, mengurangkan lonjakan harga dan mencegah pelabur borong daripada merancakkan perniagaan logam berharga itu yang akan terus menjejaskan mata wang dong yang sememangnya sudah goyah.Buat masa ini, kerajaan juga menimbangkan langkah kedua yang akan memaksa lebih 10,000 kedai emas keluar daripada perniagaan jongkong emas dan hanya memberi fokus kepada penjualan barang kemas saja.“Mereka mahu kawal emas. Saya tidak boleh kata sama ada ia langkah yang baik atau tidak. Tetapi di sini (Vietnam), kami perlukan kestabilan ekonomi,” kata pengurus di Phu Quy Jewelry Company.
Atas sebab yang praktikal, kebanyakan penduduk Vietnam lebih suka melihat simpanan mereka dalam bentuk emas. Malah kadar faedah sebanyak 14 peratus yang ditawarkan oleh pihak bank kepada penduduk yang menyimpan dong tidak mampu menarik perhatian mereka apatah lagi ia jauh lebih rendah daripada kos sara hidup yang meningkat 18.6 peratus tahun lalu.
Kata pakar ekonomi, kejatuhan harga hartanah dan pasaran saham baru-baru ini menyemarakkan lagi pembelian emas dan bank pusat juga memberi isyarat bahawa nilai mata wang dong mungkin akan terus terjejas lewat tahun ini.“Orang cuba mengawal kesan kemerosotan ini dengan membeli emas,” kata bekas pakar ekonomi kanan kerajaan, Le Dang Doanh.Minat terhadap emas sebenarnya memang sudah lama tertanam dalam masyarakat Vietnam malah sejarah peperangan dan perbalahan yang tidak berkesudahan membuatkan logam ini lebih bernilai. “Empayar boleh jatuh, mata wang boleh berubah tapi emas akan terus bertahan,” kata pakar sosiologi, Vu Duc Vuong.
Kerajaan Vietnam bukan saja mengehadkan perdagangan emas tetapi akan mengadakan kempen besar-besaran untuk menggalakkan penduduknya menyimpan emas di bank dan tidak lagi menyorokkannya di rumah. Bagaimanapun butir terperinci mengenai rancangan itu belum diuar-uarkan lagi tetapi pihak bank berkata, kerajaan sedang menimbangkan cara untuk menarik minat penyimpan dengan membuat tawaran daripada segi faedah dan keselamatan.Bulan lalu gabenor bank pusat berkata, kerajaan menganggarkan penduduk Vietnam mempunyai antara 300 hingga 500 tan emas yang disimpan di luar sistem perbankan.
Menyimpan emas milik peribadi ini di bank akan memberi kelebihan kepada pihak berkuasa kerana ia boleh dijadikan alat untuk menstabilkan ekonomi. “Jika faedah yang diberikan itu lebih tinggi dan pihak bank dapat membuktikan kredibiliti mereka, saya rasa 80 peratus penduduk akan menyimpan emas mereka di bank,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Agribank Jewelry Company, Nguyen Thanh.
Langkah untuk mengekang perdagangan emas ini dimulakan selepas peningkatan dramatik taraf hidup penduduk Vietnam yang mencetuskan perubahan pada ‘sosialisme berasaskan pasaran’. Ini adalah sistem ekonomi Vietnam yang memberikan hak kepada penduduk memiliki perniagaan penghasilan komoditi, barangan dan perkhidmatan.Pertumbuhan ekonomi selama dua dekad berjaya menaikkan status Vietnam kepada negara berpendapatan sederhana pada awal 2011, berdasarkan ukuran Bank Dunia.Tetapi perkembangan ekonomi itu diancam oleh isu makro-ekonomi (isu ekonomi yang lebih besar) termasuk kadar inflasi yang sentiasa tinggi dan rasuah.
Penurunan kadar inflasi akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan sekali gus meredakan ‘demam emas’, kata Daonh. Dia menambah kerajaan perlu membentuk polisi yang seiring dengan kepercayaan rakyat bahawa memiliki emas itu langkah yang ‘lebih selamat’.“Jika polisi ini bertentangan dengan kehendak rakyat, mereka akan beralih kepada perniagaan tidak formal yang lebih sukar untuk dikawal,” katanya lagi.
Dia menganggarkan sebanyak 20 hingga 60 tan emas diseludup masuk ke Vietnam setiap tahun. Bagaimanapun penduduk di Jalan Ha Trung di Hanoi, pusat perniagaan emas yang paling sibuk, agak skeptikal dengan langkah kerajaan itu. “Mereka akan membuat peraturan yang lebih ketat tetapi saya percaya ada jalan untuk perniagaan jongkong emas,” kata peniaga emas, Tran Hoang Long.
BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI