Thursday, 6 October 2011

Kuwait Finance Terima Anugerah Terbaik

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Kuwait Finance House (M) Bhd., (KFH Malaysia) telah menerima anugerah Penyedia Produk Konsumer Islam Terbaik melalui akaunnya, KFH Gold-Account-i di anugerah Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2011 (KLIFF).


KFH Malaysia dalam kenyataannya di sini berkata, anugerah KLIFF bertujuan menghargai sumbangan individu atau institusi di dalam industri kewangan Islam.





“Kami sangat gembira kerana memenangi anugerah tersebut menerusi produk inovasi kami iaitu KFH Gold-Account-i.
“Produk tersebut memberi peluang kepada pelanggan membuat pelaburan emas walaupun bukan secara fizikal,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jamelah Jamaluddin.


KFH Gold-Account-i merupakan akaun emas pertama di Malaysia yang terbuka kepada orang Islam dan bukan Islam. Ketika ini lebih 3,000 pemegang akaun direkodkan dengan lebih 700 kilogram emas telah dijual.

Wednesday, 5 October 2011

Korea Beli Emas AS$1b Lindungi Ekonomi

SEOUL 2 Ogos - Korea Selatan memperuntukan lebih AS$1 bilion bagi pembelian pertama emas dalam tempoh lebih sedekad ekoran ketidaktentuan pertumbuhan global dan tekanan hutang berdaulat bank-bank pusat dunia untuk mempelbagaikan rizab asingnya.


Bank of Korea berkata, pembelian terkini itu bernilai AS$1.24 bilion (RM3.596 bilion).


Pemulihan ekonomi global yang rapuh dan syarat-syarat hutang yang bahaya di Amerika Syarikat dan Eropah telah meningkatkan perlindungan selamat bagi emas sehingga mencecah rekod tertinggi pada Jumaat lalu.


Bank of Korea berkata, pihaknya telah membeli 25 tan emas sejak dua bulan lalu, meningkatkan jumlah emas yang ada kepada 39.4 tan.


Rizab mata wang seperti dolar dan euro telah mencatatkan kerugian sejak krisis kewangan global disebabkan polisi monetari yang tidak normal ekoran masalah defisit fiskal.


Data melibatkan 27 ekonomi utama daripada Bank Penyelesaian Antarabangsa menunjukkan nilai efektif penyelarasan inflasi dolar telah merosot sebanyak 10 peratus dalam tempoh dua tahun dan euro pula enam peratus, menggambarkan kenaikan dalam pusingan setiap mata wang.


Bagaimanapun, pegangan emas Korea Selatan masih terlalu kecil berbanding Bank-Bank Pusat Asia - dengan China menduduki tempat keenam, memiliki emas terbesar iaitu 1,054.1 tan pada akhir Mei lalu, menurut data Majlis Emas Dunia.


''Bank Pusat Korea Selatan agak terlewat tetapi para pelabur emas menjangka harga sokongan terus berlaku memandangkan bank-bank pusat di dunia ini masih kurang membuat pelaburan dalam emas,'' kata Ketua Asset Great Pacific Wealth Management, Sean McGillivray.


Bank of Korea berkata, ia merupakan pembelian pertama emas sejak 1997/98 untuk meningkatkan rizab asing.


Amerika Syarikat adalah negara terbesar memiliki emas dalam rizabnya iaitu 8,133.5 tan atau 74.7 peratus daripada jumlah rizab. - Reuters


Semua negara menjadikan emas sebagai pelindung ekonomi . Mengapa kita tidak mengikut jejak negara tersebut bagi melindungi ekonomi keluarga . Renung-renungkanlah……

Monday, 3 October 2011

Maut Tertimbus Dalam Kolam Emas

ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat pendulang emas yang tertimbus di ladang milik Pertubuhan Anak Yatim Mersing, malam tadi.                                                        ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat pendulang emas yang tertimbus di ladang milik Pertubuhan Anak Yatim Mersing, malam tadi.


MERSING: Laungan ‘Allahu Akbar’ di bawah timbusan tanah membawa kepada penemuan mayat seorang pemuda yang mati tertimbus ketika mendulang emas untuk menambah pendapatan sebagai persediaan meraikan kelahiran anak kedua tiga bulan lagi, dalam kejadian di sebuah ladang sawit di sini, malam kelmarin.


Dalam kejadian di ladang Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mersing (PKAYM), dekat Kilometer 13 Jalan Endau-Mersing itu, Mohd Shafadrul Afandi Shukor, 24, dari Kampung Hubung, terbunuh apabila bahagian dasar lubang lebih lima meter dalam yang dimasuki runtuh.


Sebelum kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin, Afandi memberitahu bapa mentuanya, Mohd Khamsani Kassim, 43, dia keluar rumah untuk membeli barangan keperluan harian.



Bagaimanapun, kegagalannya pulang ke rumah sehingga jam 9 malam menyebabkan Mohd Khamsani bersama seorang ipar mangsa, keluar mencarinya di sekitar kampung serta kawasan ladang berkenaan.


“Hati saya berat menelah Afandi pergi mendulang kerana sebelum ini dia pernah ke situ, walaupun saya melarangnya melakukan kerja bahaya itu. Sebaik tiba, saya terlihat motosikalnya, beg serta peralatan mendulang berhampiran lubang yang digali. Ketika itu, di bawah timbusan tanah, saya terdengar laungan ‘Allahu Akbar’ sebelum dengusan nafasnya berakhir.


“Apabila meninjau lubang yang membentuk terowong itu, saya yakin dia tertimbus dan berusaha menggali, namun tidak terdaya. Kami kemudian mengambil keputusan menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan,” katanya. 


Beliau berkata, ladang itu menjadi tumpuan pendulang emas, termasuk menantunya yang menjalankan kerja itu secara sambilan kerana percaya tanah di situ mengandungi emas.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Harun, berkata beliau bersama 13 anggota dari Mersing dan Endau bergegas ke lokasi.


“Kami sukar mengesan mangsa yang terperangkap jauh dalam tanah. Sebuah jengkaut terpaksa dibawa masuk untuk menggali kawasan itu bagi mengeluarkan mayat yang tertimbus. Operasi bermula jam 12 tengah malam yang turut dibantu orang awam akhirnya berjaya mengeluarkan mayat pada jam 2.40 pagi,” katanya.


Ibu mentua mangsa, Ayati Othman, 43, menyifatkan kejadian itu amat menyedihkan ketika isterinya, Nurul Saufeqah, 20, sarat mengandung enam bulan, selepas memperoleh anak sulung, Mohd Adam Haikal, yang kini berusia 18 bulan.


“Dia tinggal bersama kami sejak mendirikan rumah tangga. Afandi sering bercerita mengenai hajatnya mendulang emas kerana ada rakan memberitahunya mereka boleh dapat hasil lumayan. Suami saya sering menasihatkan dia tidak meneruskan usaha itu, namun selepas mendulang buat pertama kali sebelum ini, dia seolah-olah seronok, walaupun risikonya tinggi,” katanya.


Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semaloi, petang semalam selepas dibedah siasat di Hospital Mersing.