Mungkin masih ramai yang belum mengetahui akan kehebatan emas sebagai pelindung nilai yang sebenar dan mungkin masih ramai yang pekakkan telinga dari mendengarnya.So tugas bagi kita semua termasuk saya menyampaikan pada mereka yang belum mengetahui dan terus menyedarkan masyarakat dengan memberi ilmu yang betul dan tepat.Sudah banyak artikel , bukti , buku , jurnal dan sebagainya tentang kebenaran emas.Hari ini saya tambahkan lagi perkongsian berita yang disiar di Utusan Malaysia mengenai potensi emas pada tahun ini iaitu tahun 2011 :
Harga emas cecah RM4,650 seaun
KUALA LUMPUR 6 Jan. – Harga emas dunia bakal mencecah paras AS$1,500 (RM4,650) satu auns pada tahun ini, kata Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Poh Kong Holdings Bhd. (Poh Kong), Datuk Eddie Choon.
Katanya, peningkatan itu dijangka berlaku memandangkan trend semasa dan permintaan berterusan di pasaran.
”Pada tahun lalu, harga emas bagi satu auns adalah sekitar AS$1,400 (RM4,340) dan ia terus meningkat.
”Walaupun pada awal tahun ini, harganya mengalami sedikit penurunan, tetapi kami yakin ia bakal mencecah AS$1,500 satu auns,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas di minta mengulas mengenai harga pasaran semasa emas pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan Poh Kong di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Perhubungan Korporat, Pentadbiran & Sumber Manusia, Margaret Hon dan Akauntan, Hoh Sze Haw.
Tahun lalu, harga komoditi mengalami lonjakan positif apabila ditutup pada paras yang tinggi terutama bagi emas hingga ke minyak mentah.
Harga emas ditutup pada paras AS$1,421.40 (RM4406.34) satu auns pada hari terakhir 2010, naik kira-kira 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Para penganalisis menjangkakan trend peningkatan harga akan berterusan pada tahun ini kerana emas merupakan komoditi paling cemerlang dari aspek peningkatan harga pada tahun lalu.
Secara tradisinya ia dilihat sebagai pelaburan perlindungan nilai dan sering digunakan sebagai mekanisme lindung nilai terhadap deflasi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan perniagaan, Choon berkata, pada tahun ini Poh Kong akan menambah tiga lagi cawangan dengan pelaburan sebanyak RM9 juta.
”Tiga cawangan tersebut terletak di Semenanjung Malaysia dengan yang pertama adalah di Nilai, Negeri Sembilan dijangka dibuka pada suku pertama tahun ini.
”Dua lagi cawangan masih belum dikenal pasti. Pelaburan bagi setiap cawangan adalah sebanyak RM3 juta,” jelasnya.
Penambahan tiga cawangan itu akan menyaksikan Poh Kong memiliki 100 buah cawangan di seluruh negara.
Tambah beliau, setakat ini fokus perkembangan perniagaan adalah tertumpu di Semenanjung Malaysia.
”Dalam masa terdekat ini, kami masih belum merancang untuk menambah cawangan di Malaysia Timur dan di luar negara.
”Tetapi kami sentiasa meninjau sebarang peluang. Sekiranya ia bertepatan dengan kehendak perniagaan Poh Kong, kami akan pertimbangkan pada masa hadapan,” katanya.
Poh kong menguasai 15 peratus pasaran barangan kemas emas dan tahun ini merupakan ulang tahun syarikat itu yang ke 35 tahun.
Pelbagai promosi dijalankan bagi menyambut ulang tahun itu sehingga 31 Ogos ini.-Utusan Online Oleh SARAH NADLIN ROHIM , sarah.rohim@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment