APABILA bercakap tentang emas, orang selalu mengaitkannya dengan prestij kerana ia merupakan antara barangan paling berharga.
Tentu ramai yang menyangka seperti mana gemerlapnya emas yang dipakai, begitu juga dengan tempat di mana ia dihasilkan.
Tetapi realitinya kilang yang menghasilkan barang kemas itu selalunya terletak di tempat yang pasti anda tidak terfikir sama sekali.
Semua ini demi mematuhi aspek keselamatan agar kewujudannya tidak diketahui ramai. Malah pekerja yang berkhidmat di kilang tersebut juga telah dimaklumkan oleh bahagian sumber manusia ketika mereka menandatangani kontrak agar tidak mendedahkan tempat kerja mereka kepada umum. Juga semata-mata kerana mematuhi aspek keselamatan pekerja dan kilang emas itu sendiri.
“Aspek keselamatan ini memang perlu untuk mengelakkan kes jenayah berlaku,” kata seorang penyelia kilang emas, Yeow Wan Fong.
Atas faktor-faktor keselamatan, gambarnya juga tidak boleh didedahkan oleh pihak media.
Berpeluang melihat kilang menempa emas bagi produk Tomei baru-baru ini memberikan pengalaman berbeza kerana ia ibarat memasuki sebuah lokasi rahsia.
Kedatangan penulis dan jurufoto, disambut oleh Pengurus Pemasaran Tomei, Christine Lim dan terus dibawa ke kilang tersebut secara sulit kerana pekerja di pejabat Tomei sendiri pun tidak mengetahui kedudukan kilang memproses barangan kemas tersebut.
“Hanya saya seorang sahaja pekerja dari Tomei yang mengetahui tentang kedudukan kilang ini. Ini semua atas faktor keselamatan,” ujar Christine.
Bukan setakat lokasi yang tidak disangka-sangka, persekitaran bangunan kilang itu sendiri begitu unik.
Di sebalik grill yang berkunci, buruk dan kelihatan usang itu sebenarnya merupakan tempat di mana emas dibentuk menjadi barang kemas yang dipakai oleh wanita hari ini.
Sebaik memasuki kilang dari pintu yang boleh dikategorikan sebagai kecil dan tidak menarik itu, terserlah di dalamnya ruang yang cukup besar dengan pelbagai jabatan serta kakitangan yang bertugas.
Begitu banyak pintu masuk hingga tidak pasti mana satu yang kami gunakan. Juga terlalu banyak akses dari tangga yang berbeza yang menyulitkan untuk mengingati dari mana kita masuk.
Jurufoto juga tidak dibenarkan mengambil gambar pekerja atas faktor keselamatan.
Menurut Wan Fong, pekerja yang bekerja di kilang itu perlu diimbas untuk memastikan tiada pekerja yang tidak amanah.
“Terutamanya bahagian tambah nilai. Emas yang mereka bentuk pada awal pagi perlu ditimbang. Sebelum balik emas tersebut juga akan ditimbang sekali lagi bagi memastikan beratnya sama dengan ketika ia dibawa masuk. Jika kurang bermakna ada emas yang telah diambil. Perkara tersebut akan disiasat serta merta,” jelasnya.
Penulis: NOOR FAZRINA KAMAL . Utusan Malaysia 30.11.2011
No comments:
Post a Comment