Hasil pendapatan itulah dia mampu menyekolahkan tujuh anaknya hingga ada antaranya bergelar jurutera, pakar bioteknologi, guru dan pereka fesyen.
Menceritakan rutin hariannya, Kak Idah berkata, seawal jam 6 pagi dia bangun menyiapkan sarapan buat suami dan seorang anaknya yang bersekolah menengah.
Selepas menunaikan tanggungjawab isteri dan ibu, dia memastikan dapat memulakan operasi perniagaannya di bandar ini jam 9 pagi.
Bersama dua lagi rakannya, mereka mencari sudut strategik di kaki lima sambil memegang kemas beg tangan masing-masing kerana di dalamnya terdapat ribuan ringgit jika dinilai emas yang ada berserta ribuan ringgit wang yang bakal menjadi ‘modal’ membeli emas dijual pelanggan.
Sepanjang 24 tahun lalu, dia mengakui kerjaya itu menyeronokkan sebelum perbualan kami disertai dua lagi rakannya iaitu Kak Izan dan Imah. Kemudian Kak Idah menunjukkan isi begnya bersama barangan kemas atau wangnya mencukupi untuk perniagaan hari itu dengan jumlah melebihi RM10,000. Selain mereka bertiga, di sudut kaki lima itu kelihatan juga beberapa orang lagi peraih duduk di kerusi dan berbual kosong. Kalangan mereka saling mengenali kerana kerjaya seperti itu perlukan jalinan kerjasama antara satu sama lain.
Apabila didekati, gelagat empat peraih emas di kedai berhampiran juga sama saja kaedah yang digunakan mereka, duduk santai di kerusi sambil berbual kosong dan sesekali menjamah jajan yang dibeli lalu diletak di atas bangku. Mereka makan beramai-ramai dan ada kalanya pelanggan datang, mereka memberi penerangan ringkas sambil meneliti resit gadaian yang ditebus dan sebagainya. Kemudian pelanggan berlalu sebaik saja urusan ‘jual beli’ selesai.
“Beginilah rutin harian kami setiap hari. Bila tiba waktu makan, kami makan bersama-sama dan jika seorang daripada kami kekurangan wang, kami saling meminjam dan sebaik mendapat hasil jualan terus dibayar hutang itu.
“Sebenarnya, bukan mudah menjalankan perniagaan ini kerana kerenah pelanggan pelbagai. Mungkin ada yang berpura-pura membeli emas dan tidak kurang juga menunjukkan surat pajak gadai yang bukan milik mereka. “Selama lebih 20 tahun berniaga, saya jarang diuji dengan perkara pelik. Saya berdoa dipermudahkan rezeki kerana kerja ini yang membantu saya membesarkan tujuh anak dan enam daripada mereka ke universiti,” katanya.
Seorang lagi peraih, Kak Hana (bukan nama sebenar), 50, berkata sepanjang 18 tahun berkecimpung dalam bidang itu, dia pernah menggadai barangan kemas bernilai lebih RM10,000 sebagai modal permulaan.
Katanya, antara rahsia mereka bertahan lama dalam kerjaya itu kebolehan berkomunikasi dengan pelanggan terutama dalam soal tawar-menawar harga.
“Sebagai orang lama di bidang ini, saya ada pelanggan setia. Jika mereka ada masalah kewangan atau hendak jual emas bagi mendapatkan wang cepat, saya dicari. “Selain itu, kami juga memahami masalah pelanggan yang terdesak hendak pakai wang, apa pun mereka terpaksa jual barangan kemas itu. Apabila selesai berunding dan mereka bersetuju dengan harga yang ditawarkan, di situ wujud situasi ‘menang-menang’ antara kami. Tidak wujud soal kami menipu kerana kami ada akad dalam perniagaan ini apabila semua selesai,” katanya.
Sementara itu, Izan (juga bukan nama sebenar), 45, berkata, dia mula berminat menjadi peraih emas selepas mengikuti sepupunya ketika masih remaja. “Ketika pertama kali mendapat duit hasil jualan puluhan ribu, saya menggigil dibuatnya. Dari situlah datangnya keseronokan dan kekuatan bekerja lebih gigih sampai sekarang. “Tidak dinafikan ada berlaku hal yang pelik, tetapi bagi saya, kami bekerja seperti waktu pejabat iaitu bermula 9 pagi dan balik jam 6 petang dengan pendapatan yang lumayan. Tentunya kerjaya ini menarik dan bukan semua orang ada bakat bekerja di bidang ini,” katanya.
BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI
No comments:
Post a Comment