HABIB Jewel Sdn Bhd membuka cawangan pertamanya di Perak, di Pasar Raya Besar MYDIN Meru Raya di Ipoh.
Syarikat berkenaan melabur kira-kira RM3 juta bagi membuka cawangan kedai emas dan berliannya yang ke-25 itu. Pengarah Urusan Habib Holdings Sdn Bhd, Datuk Meer Sadik Habib, berkata pihaknya sudah lama merancang membuka cawangan di Perak dan mengenal pasti kompleks beli-belah berkenaan dilihat sebagai lokasi paling strategik. “Kami menerima permintaan tinggi dari penduduk Perak terutama daripada 65,000 peminat dalam laman sosial facebook kerana sebelum ini mereka terpaksa ke Pulau Pinang atau Kuala Lumpur untuk membeli produk atau mendapatkan perkhidmatan kami.
“Dengan pembukaan cawangan pertama di Perak, kami boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami di sini,” katanya ketika ditemui Berita Harian di Ipoh, semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Operasi Cawangan HABIB JEWEL, Mohd Zaruddin Mahmud.
Meer Sadik berkata, serentak dengan pembukaan cawangan itu, Habib Jewel mengadakan promosi potongan harga sehingga 70 peratus untuk barangan berlian dan permata terpilih, diskaun antara RM7 hingga RM20 untuk emas 916 terpilih serta kadar tukar beli emas dan berlian pada kadar harga terbaik. Promosi itu akan berlangsung sehingga akhir bulan ini.
Beliau juga berkata, berbanding tahun lalu yang menyaksikan peningkatan harga emas sehingga 30 peratus, tahun ini menyaksikan penurunan harga bahan itu berkemungkinan kerana masalah ekonomi di Eropah terutama di Greece yang masih belum pulih.
Justeru, katanya, sekarang adalah antara masa terbaik untuk membeli emas atau barangan kemas lain seperti berlian kerana dalam jangka panjang, harganya akan meningkat.
Meer Sadik berkata, pihaknya turut menjual jongkong emas 999 bermula dari berat lima gram, 10, 50 dan 100 gram sehingga satu kilogram untuk mereka yang berminat menjadikan emas sebagai satu bentuk pelaburan.
Barangan berlian dan rekaan yang dijual pula, katanya memenuhi kehendak muslimah terutama untuk wanita yang memakai tudung seperti rantai panjang dan kerongsang manakala butang baju Melayu pula untuk lelaki.
Beliau berkata, jika sambutan baik terhadap cawangan di Meru Raya itu berterusan, pihaknya tidak menolak membuka cawangan lain di Perak memandangkan kedudukan negeri itu yang besar dan kuasa beli penduduknya yang semakin meningkat.
BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI
No comments:
Post a Comment