Wednesday, 12 December 2012

Laksanakan Peraturan Mengenai Perdagangan Emas – Dr. Mahathir


KUALA LUMPUR – Peraturan mengenai perdagangan emas perlu dilaksanakan bagi memberi garis panduan jelas kepada pelabur dan pedagang, cadang bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Jelasnya, terdapat banyak kekeliruan yang timbul disebabkan ketiadaan peraturan tersebut, sekali gus menyebabkan perdagangan dan pelaburan emas kurang diminati.
“Saya mempromosikan perdagangan emas untuk disimpan kerana nilai wang akan menyusut sedangkan nilai emas tidak, jadi kita perlu membeli emas kerana ia amat penting,” katanya selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Riba Dunia di sini hari ini.
Mengikut peraturan Bank Negara Malaysia, bank pusat tersebut hanya bertanggungjawab terhadap perdagangan emas oleh institusi-institusi kewangan dan tertakluk kepada jenis perniagaan yang mereka jalankan.
Dr. Mahathir turut menyentuh mengenai pelaburan emas Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva) yang digantung operasi kerana mengambil deposit haram, beliau berkata, siasatan perlu dijalankan dengan teliti sebelum sebarang tindakan diambil.
“Tidak wajar menghukum semua yang terlibat (dalam pelaburan tersebut) kerana hukuman tersebut patut dijatuhkan kepada individu yang melakukan kesalahan sahaja, saya tidak menentang tindakan kerajaan dalam hal ini tetapi saya merasakan setiap manusia berhak untuk mendapat layanan adil.
“Saya tidak tahu di mana silapnya (Genneva), siasatan teliti perlu dijalankan dahulu kerana apabila terus diharamkan, pembeli akan kerugian, mereka juga tidak dapat emas mereka semula,” ujar beliau lagi.
Mengenai dinar emas yang sering menjadi perhatian beliau sejak beliau memimpin negara, Dr. Mahathir berkata, mata wang tersebut seharusnya menjadi elemen penting dalam perdagangan antarabangsa kerana emas tidak susut nilai dan boleh menjadi sandaran sebenar.
Beliau bagaimanapun tidak menggalakkan penggunaan dinar emas dalam urusniaga harian.
“Dinar emas seharusnya digunakan untuk perdagangan antarabangsa dan bukannya penggunaan domestik, tetapi di Kelantan mereka keluarkan dinar emas sendiri dan ini menyukarkan urusniaga harian,” jelasnya.

BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI

No comments:

Post a Comment