Tuesday, 26 March 2013

Risiko Pelebur Emas


MELIHAT kedai emas berderetan di bahu jalan, terlintas di fikiran tentu saja mengenai penjualan emas siap berbentuk rantai, anting-anting, cincin mahupun gelang. Namun, pernahkah anda terfikir mengenai bentuk asal emas itu atau bagaimana proses perhiasan yang menjadi igauan setiap wanita itu, dijalankan?
Daripada seketul emas berbentuk bar, jongkong atau apa sahaja material asasnya, ia pasti melalui satu proses sehingga terbentuk menjadi ukiran yang sangat cantik dan tidak jemu mata memandang.
Bagi Mohd Uzi Che Hussin, 32, jika orang lain memilih menjalankan perniagaan menjual emas siap, dia memilih untuk menjalankan perniagaan membeli dan melebur emas.
Dua kerja satu masa
Menceritakan pembabitan awal dalam dunia peleburan emas, Uzi berkata, ia bermula secara tidak sengaja ketika dia berumur 23 tahun.
Pada masa itu, dia bekerja di bahagian membuat pastri sebuah pasar raya. Pada masa sama, dia membuat kerja tambahan untuk menambah duit poket, iaitu menggantung kain rentang dan poster dengan upah RM50 untuk 1,000 keping poster.
“Gaji kerja pasar raya ketika itu cuma RM700. Duduk kat Kuala Lumpur mana cukup. Jadi saya buat kerja lain. Kebetulan waktu itu poster yang saya tampal berkaitan iklan jual beli emas terpakai.
“Dari situ saya terfikir, kenapa aku tak gantung poster bisnes sendiri,” katanya yang seterusnya memulakan langkah menampal poster bisnes sendiri dan mengedar risalah dari rumah ke rumah.
Menimba pengalaman daripada seorang tauke berbangsa Melayu, Uzi akhirnya berkeyakinan membuka kedai sendiri dengan memilih Puchong sebagai tapak mula perniagaan.
Kenal emas dengan bau
“Saya hanya belajar cara melebur emas melalui pemerhatian. Walaupun sedar ilmu belum penuh di dada dan hanya tengok cara tauke buat, saya tak ada masalah untuk belajar dengan cepat.
“Dengan modal simpanan sendiri, saya buka kedai,” katanya, yang turut memiliki dua lagi kedai UnA Enterprise di Shah Alam dan Sandakan, Sabah.
Kerjaya sebagai pelebur emas, meskipun berisiko namun, memberi kepuasan yang tidak terhingga buat Uzi apatah lagi melalui perniagaan ini dia mampu mengenal pasti ketulenan emas walau hanya dengan menghidu objek itu.
Anak jati Tanah Merah, Kelantan ini berkata, perkara penting dalam bidang melebur emas ini adalah bijak meneliti.
“Jika anda betul-betul berminat mahu menceburi bidang ini, belajar bagaimana mengenal emas. Pandang sahaja kita dah boleh tahu ia jenis apa. Jenis emas yang paling tinggi kualitinya adalah 999.
“Namun, emas yang popular dalam kalangan pembeli pada masa kini adalah 916, iaitu emas 22 karat. Nama atau kategori emas itu melambangkan peratusan emas atau ketulenan sesuatu emas. Contoh 916 bermaksud 91.6 peratus emas,” katanya.
Jangan hidu asap
Sewaktu penulis dibawa ke ruang belakang kedai Uzi, kelihatan beberapa peralatan untuk melebur emas tersusun elok di ruang separa besar bangunan kedai itu.
Uzi mengenakan pakaian lengkap termasuk ‘goggles’ dan topeng penutup hidung sebelum membuat demonstrasi melebur emas kepada penulis dan jurugambar.
Menurut Uzi, perkara paling berisiko dalam kerjaya ini adalah ketika memanaskan emas dalam bahan kimia tertentu yang dimasak di atas dapur. Tidak sampai setengah minit emas dipanaskan, kelihatan asap berwarna oren pekat berkepul-kepul keluar diiringi bau yang amat menusuk hidung.
“Sebab itu kena pakai goggles (sebagai pelindung mata). Bau asap ini terlalu perit sampaikan boleh sakit dada kalau tidak berhati-hati,” katanya sekadar berdemo sambil segera menutup api dapur.
Uzi membeli emas terpakai daripada orang ramai, sebelum emas berbentuk rantai, gelang, cincin mahu pun anting-anting itu dilebur semula dan dibentuk menjadi bar. Bar emas itu kemudian akan dijual semula di kilang sebelum dibentuk dan dijual semula kepada pembeli.
Ditanya mengenai pembuatan emas siap, Uzi menjelaskan untuk membentuk emas mengikut kehendak pelanggan, dia perlu memiliki acuan berkaitan. Bagaimanapun, dia tidak mempunyai acuan itu yang kebanyakannya dimiliki syarikat tertentu atas alasan tertentu. – sinarharian

BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI

No comments:

Post a Comment