PELABURAN emas semakin mendapat perhatian orang ramai dan lebih banyak individu mula memilih emas sebagai medium pelaburan jangka panjang. Berikut adalah beberapa persoalan berkaitan pelaburan emas untuk dikongsi bersama.
ADAKAH pelaburan emas boleh memberi banyak keuntungan kepada pelabur?
Terdapat dua cara untuk membeli emas iaitu melalui ejen yang mendapatkan bekalan emas dari kilang atau membeli emas terpakai. Kedua-dua cara ini boleh memberi keuntungan kepada pelabur, namun memerlukan masa dan tidak boleh memberi keuntungan serta-merta.
Cara yang terbaik untuk mengoptimumkan keuntungan ialah dengan mendapatkan emas pada harga paling rendah iaitu melalui pembelian emas terpakai.
Ini kerana emas tetap dikira sebagai emas walaupun patah atau rosak kerana jika dileburkan ia masih dikira emas dan boleh dijual mengikut harga pasaran.
Adakah pelaburan emas fizikal lebih menguntungkan berbanding pelaburan emas mengikut harga pasaran seperti ditawarkan beberapa institusi kewangan?
Pelaburan emas fizikal adalah yang terbaik kerana pemilik emas boleh menilai dan memiliki emas dibeli.
Pelaburan emas berdasarkan harga emas tanpa mendapat produk emas dikategorikan sebagai haram kerana hanya membabitkan permainan harga tanpa memiliki emas sebenar.
Ia turut berisiko menyebabkan pelabur tertipu kerana tidak dapat menilai emas mengikut harga pasaran berikutan hanya bergantung kepada harga ditetapkan institusi kewangan.
Apakah cara terbaik untuk mengelak terperangkap dengan skim emas berunsur penipuan?
Apa-apa bentuk perniagaan atau pelaburan yang ingin dilakukan perlu dilengkapkan dengan pengetahuan dan maklumat kerana dapat mengelak pelabur tertipu.
Bagi melabur dalam emas, pelabur perlu mempunyai pengetahuan indeks harga emas, trend turun dan naik harga emas, cara mengenal pasti emas tulen dan tiruan serta yang paling utama teknik mendapatkan emas paling murah.
Jika memiliki ilmu berkaitan emas, pelabur emas boleh mendapat keuntungan serta-merta jika tahu cara yang betul.
Bagaimana jika seseorang individu ingin membuat simpanan emas untuk jangka panjang?
Menabung emas adalah lebih baik daripada wang kerana harga emas boleh meningkat walaupun mengambil masa lama.
Bagaimanapun, jika seseorang ingin menjadikan emas sebagai medium simpanan, ia adalah langkah terbaik kerana sekurang-kurangnya nilai simpanannya meningkat berbanding simpanan wang yang boleh dikeluarkan bila-bila masa.
Bagaimanapun, untuk memastikan simpanan emas dilakukan memberi pulangan tinggi, pelabur perlu mendapatkan emas pada harga paling rendah sama ada melalui harga kilang atau membeli emas terpakai.
Apakah langkah yang perlu diambil jika seseorang individu itu berminat membuat pelaburan emas?
Sebelum membuat pelaburan dengan jumlah wang yang banyak adalah lebih baik sekiranya pelabur mendapatkan ilmu berkaitan emas.
Ini bagi membolehkan pelaburan yang dibuat tidak merugikan kerana jika mengikut cara salah, pelaburan itu menjadi sia-sia dan pelabur mungkin menanggung kerugian walaupun ia berkaitan pelaburan emas.
Pastikan jenis pelaburan ingin dibuat, sama ada untuk simpanan sendiri bagi jangka panjang atau melabur untuk mendapat keuntungan kerana ia membabitkan konsep dan sistem berbeza.
BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI
No comments:
Post a Comment