KOTA BHARU- Taktik licik warga Kemboja menggunakan kawasan belakang rumah sebagai lokasi untuk meleburkan barangan terpakai bagi mendapatkan serbuk emas dan logam secara haram, berjaya ditumpaskan dalam operasi bersepadu sepasukan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di Kampung Bunga Emas, Penambang, di sini, petang semalam.
Operasi (Ops Lebur) yang diketuai Ketua Inspektor penguat kuasa MPKB-BRI, Mohamad Ali, turut disertai oleh empat anggotanya, enam kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua anggota polis serta empat kakitangan Imigresen.
Dalam serbuan berkenaan, lima kediaman dan sebuah bangsal yang didirikan di belakang semak yang menjalankan kegiatan itu diserbu selain seorang lelaki warga Kemboja yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah turut ditahan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa MPKB-BRI, Ramly Che Hussein, berkata operasi dilakukan, hasil intipan dan risikan anggota penguat kuasa sejak dua bulan lalu.
“Selepas mengenal pasti kawasan berkenaan serta aktiviti yang dijalankan warga Kemboja itu, kami bertindak menjalankan serbuan di kawasan terbabit.
“Melalui maklumat awal yang kami perolehi, mereka menjalankan operasi tanpa lesen dan kebenaran yang sah sekitar tiga hingga lima tahun lalu dengan membakar barangan terpakai secara terbuka, termasuk pasu bunga, batu, pasir serta cip komputer yang mengundang masalah kesihatan kepada penduduk,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ramly berkata, pihak terbabit pernah diberikan amaran sebelum ini oleh pihak JAS namun masih berdegil serta masih menjalankan aktiviti terbabit dan atas sikap mereka itu pihaknya, mengambil langkah segera menyerbu premis berkenaan.
“Dalam operasi ini, dua kediaman yang sedang menjalankan kegiatan membakar dan melebur diserbu dan diberi notis amaran oleh JAS selama 14 hari untuk memberhentikan kegiatan mereka serta merta serta.
“Sekiranya mereka ingkar dan masih berdegil, MPKB akan mengambil tindakan merobohkan premis terbabit dan tindakan mahkamah akan di ambil oleh pihak JAS,” katanya.
Ramly berkata, di atas kesalahan terbabit pengusaha barangan itu, boleh dikenakan tindakan di bawah akta Undang-Undang Trade Kecil MPKB 1987 dan Akta Dalam Parit dan Bangunan 1974. – Sinar harian
BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI
No comments:
Post a Comment