Thursday, 8 September 2011

Pasaran Saham Asia Jatuh Mendadak


Bunga - bunga benua Asia akan mengalami kegawatan ekonomi selepas US dan Eropah...
Berita Harian 6 Sept 2011





PASARAN saham Asia menjunam semalam seiring dengan kejatuhan pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berikutan kebimbangan dunia kini sedang menuju satu lagi krisis kewangan. 

Pelabur yang sudah hilang keyakinan semakin tertekan oleh perangkaan ekonomi AS yang semakin lemah dan amaran daripada ketua Suruhanjaya Eropah bahawa krisis hutang zon euro berkemungkinan sudah merebak ke negara lain.

“Ia menjadi urus niaga akhir minggu terburuk,” kata penganalisis IG Market, Ben Potter di Sydney, sambil menambah bahawa semua sektor dijangka berdepan dengan pukulan.
Tokyo jatuh 3.72 peratus atau 359.30 mata untuk ditutup pada 9,299.88 manakala Hong Kong menjunam 4.29 peratus atau 938.60 mata untuk berakhir pada 20,946.14. 

Sydney merosot empat peratus atau 171.1 mata kepada 4,105.4 dan Seoul merosot 3.70 peratus atau 74.73 mata kepada 1,943.74. 

Sydney kerugian 8.72 peratus dalam empat hari lalu manakala Seoul jatuh kira-kira 10.5 peratus dalam tempoh sama.

Taipei mencatatkan kejatuhan terbesar apabila menjunam 5.58 peratus atau 464.14 mata untuk ditutup pada 7,853.13.
Shanghai turun 2.15 peratus atau 57.62 mata kepada 2,626.42 manakala Mumbai susut 3.10 peratus dalam perdagangan petang. 

Kebimbangan melanda Asia dari Eropah dan AS, yang mana menyaksikan indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA) mengalami penurunan terburuk harian sejak Disember 2008 untuk menutup 4.3 peratus lebih rendah pada 11,383.68, memadam semua keuntungan tahun ini. 

S&P 500 pula turun 4.8 peratus untuk berakhir pada 1,200.07 manakala Komposit Nasdaq teknologi tinggi merosot 5.1 peratus kepada 2,556.39. 

Pasaran Eropah menjunam pada awal dagangan semalam. 

London dan Paris kedua-duanya turun 3.0 peratus, Frankfurt jatuh hampir 4.0 peratus, Milan merosot 3.5 peratus dan Madrid susut 2.4 peratus. 

Kerugian diperluaskan penjualan besar-besaran pada Khamis yang menyaksikan London, Paris dan Frankfurt susut antara 3.4 dan empat peratus. 

“Kami melihat penurunan dan kini kehilangan keyakinan dalam ekonomi, pasaran dan dalam penggubal dasar. Kini semuanya kelihatan,” kata Hugh Johnson daripada firma Hugh Johnson Advisors yang berpangkalan di AS. 

Perangkaan pekerjaan AS yang lemah pada Khamis menyemarakkan kebimbangan di kalangan beberapa penganalisis bahawa dunia kini menuju ke arah kemelesetan selepas krisis kewangan 2008. 

Jabatan Buruh AS melaporkan bahawa tuntutan mingguan untuk manfaat pengangguran kekal tinggi 400,000 pada minggu lalu. 

Angka berkenaan diikuti perangkaan minggu ini menunjukkan pertumbuhan pengeluaran di AS, Eropah dan Asia kini seolah-olah terhenti. 

Penganalisis City Index, Giles Watts, berkata terdapat kebimbangan yang mendalam berhubung pertumbuhan global dan keadaan di AS khususnya. 

“Pedagang kini semakin bimbang berhubung kelembapan mendadak dalam aktiviti ekonomi AS pada suku ketiga,” katanya.





Makin ramai orang mula membeli dan menyimpan emas sebagai persediaan akan KEMELESETAN EKONOMI BERGANDA ( MAKIN LEBIH PARAH & LEBIH TERUK 







No comments:

Post a Comment