Monday 24 June 2013

Serba Sedikit Asas Berkenaan Emas

Untuk pembaca yang baru ingin mengenali@berjinak-jinak dalam dunia emas, disini saya ingin menerangkan serba sedikit asas berkenaan emas. kenapa saya memilih menyimpan emas bukan wang tunai. MENGAPA anda perlu menyimpan emas?
1. Emas ialah kekayaan yang sebenarnya
2. Harga emas sentiasa meningkat dalam jangka masa panjang.
3. Nilai wang kertas sentiasa jatuh di dalam jangka masa panjang
4. Aset yang terunggul
5. Ia tidak boleh dimanipulasikan/dimusnahkan
Sekarang kita kupas lebih lanjut macam mana ingin bermula. tapi sebelum itu, saya ingin menerangkan terdapat 2 Cara Membuat Pelaburan Emas di Malaysia iaitu:
1. Pelaburan secara emas fizikal (syiling emas,jongkong emas, barang kemas)
2. Pelaburan emas dengan membuka akaun simpanan emas (Maybank, Public bank dll)
Daripada 3 kategori emas fizikal ini, cuma syiling emas dan jongkong emas boleh dikategorikan sebagai emas pelaburan. Ini kerana syiling emas dan jongkong emas sememangnya dibuat khusus untuk tujuan pelaburan. Barang kemas bukanlah pelaburan emas yang baik kerana harganya yang tinggi disebabkan kos upah membuat barang kemas tersebut. Selain itu susut nilai bagi barang kemas adalah tinggi (25 % – 40%).
Di Malaysia, terdapat beberapa institusi yang menjual emas fizikal untuk pelaburan iaitu:
1. Maybank – Syiling Kijang Emas
2. UOB Bank – Syiling Emas dan Jongkong Emas
3. Public Fine Gold International Sdn. Bhd. Gold – syiling dan jongkong emas
4. Public Dinar – Dinar emas
5. Dinar Emas Kelantan – Dinar emas
6. Kedai emas Poh Kong, Habib Jewel dan sebagainya – jongkong emas
Sekarang anda telah mengetahui bahawa terdapat 2 jenis emas pelaburan yang boleh dibeli iaitu emas fizikal dan akaun simpanan emas.
Persoalannya, yang mana satu sesuai dengan anda? Emas fizikal atau akaun simpanan emas? Jawapan saya :
BELI EMAS FIZIKAL.
Ia jauh lebih baik daripada akaun simpanan emas. Ini kerana anda boleh menggadaikan emas fizikal dan memperoleh wang jika memerlukan. Jadi, walaupun harga emas jatuh anda tidak akan mengalami kerugian. Berbeza dengan akaun simpanan emas. Anda akan mengalami kerugian jika menjual pada harga yang rendah daripada harga belian. Anda perlu menunggu sehingga harga naik sebelum mendapat keuntungan.
Emas fizikal boleh dijual pada bila-bila masa kepada sesiapa yang ingin membelinya walaupun ketika cuti atau waktu malam sedangkan untuk akaun simpanan emas anda cuma boleh menjualnya di bank ketika waktu perbankan/pejabat.
Jika anda menghadapi masalah untuk menyimpan emas fizikal atau takut risiko kehilangan emas fizikal anda boleh menyimpan emas fizikal anda di peti simpanan khas di bank seperti RHB.

BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI

Risiko “Bermain” Dengan Emas

1. Berlaku musibah yang ditimpa
– Apabila berlaku kes jenayah ke atas diri kita seperti kecurian,ragut,samun dan rompakan. Dengan berlakunya perkara tersebut kita terpaksa menangung kerugian kehilangan emas tersebut daripada kehilangan nyawa sendiri kerana pelaku jenayah akan tekad membuat sesuatu yang tidak diigini bagi mendapatkan sesuatu.
Cara untuk mengatasi :
Membuat penyewaan peti simpanan (safe deposit box) di bank-bank serta syarikat yang menjalankan perkhidmatan tersebut. Pelbagai bank dan syarikat menawarkan penyewaan peti simpanan tersebut secara sewaan bayaran tahunan beserta dengan insurans untuk melindungi harta2 para pelabur.
Jumlah insurans mengikut pada jumlah bayaran tahunan yang dikenakan. Setiap bank dan syarikat yang menawarkan perkhidmatan tersebut mempunyai kadar yuran tahunan yang berbeza mengikut saiz peti dan jumlah insurans yang diambil.
Cara yang tidak digalakkan adalah menyimpan emas-emas yang banyak di dalam rumah sahaja akan tetapi gunakanlah kreativiti anda untuk membuat tempat tersebut agar selamat dan terjamin.
2. Berlaku kerugian apabila menjual emas di kala masa yang tidak tepat.
– Seorang pelabur menjual emas tersebut untuk mendapatkan wang tunai di kala harga belian lebih rendah daripada jualan. Jika masa yang tidak sesuai untuk menjual emas tersebut kerugian akan diperolehi di dalam pelaburan emas.
Cara untuk mengatasi :
Pelabur perlu mempunyai ilmu asas di dalam pelaburan emas dan antaranya perlu mengetahui terma ataupun istilah yang digunakan di dalam pelaburan emas tersebut.
WE SELL = Harga rujukan untuk membuat pembelian ke atas emas tersebut daripada agen-agen.
WE BUY = Harga rujukan untuk pelabur-pelabur emas membuat jualan emas yang dimiliki kepada agen-agen.
Simpanlah dan tetapkanlah di dalam minda anda bahawa pelaburan emas ini di untuk jangkamasa 3 tahun ke atas. Lagi lama kita simpan lagi banyak keuntungan yang diperolehi di sebabkan kenaikan harga emas secara purata sebanyak 25% setahun.
Sebagai seorang pelabur, kita hendaklah memastikan emas yang hendak dijual kepada agen-agen adalah merujuk harga ‘WE BUY’ dengan melebihi harga yang kita telah membeli dahulu.
3. Terlibat dengan penipuan skim pelaburan emas.
– Emas adalah bukan satu skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tetap secara tahunan atau pun bulanan (dividen) kerana keuntungan emas adalah daripada kenaikan harga emas semasa. Penyertaan anda di dalam skim pelaburan ibarat menggadaikan kewangan anda untuk masa hadapan di sebabkan pengkhianatan individu tertentu yang mengawal dan menjaga skim pelaburan ataupun tindakan bank negara yang membekukan akaun tersebut setelah didapati menyalahi undang-undang.
Cara untuk mengatasi :
Apabila anda memiliki emas maka anda seorang sahaja yang menjaga dan mengawal penjualan dan pembelian emas tersebut tanpa mengharapkan individu-individu tertentu. Jadi, untuk berlaku penipuan dan pengkhianatan itu tiada kerana anda lah penentu untuk pelaburan tersebut sama ada menjadi rugi ataupun untung.Langkah terbaik anda hendaklah mempelajari ilmu asas mengenai sesuatu pelaburan sebelum menceburinya.
4. Memajak emas fizikal di Ar-Rahnu atau Pajak Gadai Konvensional.
– Dengan kelebihan pada emas fizikal anda telah menggunakan ar-rahnu untuk membuat pajakan. Kerugian tersebut adalah anda akan kehilangan emas jikalau gagal untuk melunaskan hutang yang telah di berikan oleh pihak bank. Kadang kala jika seseorang itu bermain pajak dan tidak kena pada teknik pemajakan, maka anda akan mengeluarkan sebahagian wang gaji untuk membayar upah simpan dan kenaikan harga emas itu tidak dapat menampung upah simpan tersebut. Bagi yang membuat pinjaman Ar-Rahnu untuk melakukan perniagaan dan di kala kecemasan gagal membayar hutang yang diberikan kerana sifat boros belanja.
Cara untuk mengatasi :
Apabila anda hendak bermain pajak di Ar-Rahnu, sila pastikan emas yang anda hendak membuat modal adalah melebihi 100gm paling minima. Ini adalah kerana jika berlaku perubahan kenaikan harga emas anda akan nampak perubahan harga tersebut berbanding orang yang memiliki 20gm dan 50gm emas. Ibarat yang boleh nampak didalam stock market seperti perbandingan orang yang memiliki 10 lot saham berbanding 1 lot saham.
Jika anda mempunyai jumlah unit yang banyak maka anda dapat melihat keuntungan yang besar apabila berlaku kenaikan harga yang sedikit berbanding orang yang mempunyai unit yang kecil. Selain itu, rancanglah perbelanjaan serta pastikan anda mempunyai budget yang cukup untuk menebus kembali emas anda walaupun kelebihan ar-rahnu anda bebas membayar mengikut sesuka hati anda asalkan sebelum tamat tempoh pemajakan emas tersebut.
Perlu diingatkan para pelabur emas ialah, tiada jaminan daripada Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) untuk pembelian emas anda sebagai pelaburan.
Dengan risiko-risiko yang telah dinyatakan, maka anda hendaklah perlu berfikir sejenak untuk menangani risiko di atas untuk mendapatkan pelaburan yang selamat dan mendapat pulangan modal yang tinggi.

BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI

7 Soalan Mengenai Pelaburan Emas

7 soal-jawab yang sering ditanya mengenai pelaburan emas:
1. Bolehkah saya membeli emas dengan membuat pembiayaan dari bank? Bukankah membeli emas secara berhutang adalah dilarang dalam Islam?
Islam melarang jual beli emas secara hutang hanya dalam transaksi tersebut sahaja. Contohnya;,
Tuan membeli 10g emas hari ini dan pembayaran hanya dibuat 30 hari kemudian. Atau,
Tuan membayar RM 1,500 hari ini dan hanya menerima emas tanpa sebarang bukti atau resit pembelian 3 minggu selepas itu.
Manakala membuat pembiayaan bank untuk membeli emas pula adalah dibenarkan. Dalam situasi tersebut, tuan berhutang dengan bank dan bukannya penjual emas. Apa yang penting selepas mendapat duit dari bank, pembelian emas dibuat secara tunai.
Sekiranya tuan meminjam dari bank, maka pastikan tuan hanya membuat pembiayaan peribadi dari bank-bank Islam sahaja. Jika tuan membuat pinjaman dari bank konvensional maka tuan masih terlibat dengan riba.
Dalam erti kata lain, proses pembiayaan bank adalah transaksi A. Manakala, membeli emas pula adalah transaksi B. Maka, pastikan transaksi B berlaku secara tunai.

2. Apakah hukum membeli emas pada harga yang rendah kemudian dijual semula dengan harga tinggi untuk mendapatkan keuntungan? Misalnya, membeli emas pada RM 150/g dan menjual semula pada RM 180/g. Adakah ini perbuatan riba?
Itulah yang dikatakan jual beli yang difahami oleh tuan semua. Secara umumnya Islam
tidak melarang jual beli. Apa yang mesti tuan fahami adalah jual beli tersebut mesti berlaku secara tunai.
Hanya jual beli emas yang tidak berlaku secara tunai adalah riba.

3. Bank mana yang menawarkan akaun pelaburan emas patuh Shariah?
Akaun pelaburan emas diperkenalkan oleh bank-bank. Bank-bank Islam mahupun bank-bank konvensional tidak mahu terlepas untuk membuat untung dari kenaikan mendadak harga emas yang berlaku.Keunikan akaun pelaburan emas di bank adalah tuan tidak perlu menyimpan emas secara fizikal. Walaupun begitu, masih ada kos yang perlu tuan perhalusi, dan ini berbeza dari satu bank ke satu bank yang lain.
Sehingga artikel ini ditulis, hanya akaun pelaburan emas yang ditawarkan oleh Kuwait Finance House (KFH) dan al-Rajhi Bank yang dapat disahkan akaun pelaburan emas yang halal.

4. Bagaimana dengan peluang pelaburan emas yang memberikan dividen ?
Pelaburan emas tidak memberikan dividen. Sekiranya tuan ditawarkan dengan pelaburan emas yang menawarkan dividen bulanan, suku tahunan atau tahunan maka sila berhati-hati.
Jangan terlibat dalam skim pelaburan emas yang meragukan sebegitu kerana khuatir ia adalah skim cepat kaya yang mahu menipu orang ramai.

5. Apakah perbuatan membeli emas, gadai dengan syarikat ar-Rahnu, beli emas lagi, gadai lagi dan seterusnya dibenarkan dalam Islam?
Strategi berkenaan dari sudut hukum tidak ada larangan yang mengharamkannya. Apa yang penting pembelian dibuat secara tunai dan gadaian dibuat dalam syarikat-syarikat yang mengamalkan skim pajak gadai Islam.
Walaupun begitu, tuan mesti sentiasa berhati-hati apabila mahu menggunakan strategi sebegini kerana harga emas ada turun naiknya.
Selagi mana harga emas sentiasa naik maka tiada masalah, tetapi jika berlaku kejatuhan harga emas yang teruk tuan pasti berhadapan dengan masalah yang besar.

6. Bagaimana mahu membuat pembelian emas fizikal secara online?
Pembelian emas secara online dapat dibuat selagi mana ia dibuat secara tunai. Andaikan tuan membeli emas seberat 10g bernilai RM 1,500, maka selepas sahaja tuan membayar jumlah penuh kepada penjual, maka penjual mesti memberikan resit yang dapat tuan gunakan untuk menuntut emas tersebut.
Tujuan resit adalah untuk memenuhi syarat qabadh (possession) yang menjadi syarat wajib jual beli emas. Qabadh hakiki (actual possession) berlaku apabila selepas tuan membayar, tuan memperoleh emas tersebut.
Qabadh hukmi (constructive possession) pula berlaku apabila selepas tuan membuat pembayaran, tuan menerima resit yang menunjukkan emas itu ada, dan tuan dapat menuntut emas tersebut pada bila-bila masa tanpa sebarang halangan daripada pihak penjual.
Namun sekiranya pihak penjual dan pembeli tidak mahu menjadikan harga semasa emas sebagai harga jual beli, maka jual beli tersebut masih sah. Kedua-dua pihak ada kebebasan untuk menggunakan harga semasa, harga yang lebih tinggi dari harga semasa, atau harga diskaun dari harga semasa.
Apa yang penting adalah selepas tuan bersetuju dengan sebarang harga, maka tuan membuat pembayaran penuh dan penjual dapat memberikan resit bagi memenuhi syarat qabadh.
Sekiranya berlakunya pembayaran ansuran, maka itu adalah riba.

7. Apakah hukum pelaburan emas secara online?
Apabila Islam meletakkan syarat jual beli tunai, maka maksudnya pembeli mesti cukup duit dan penjual mesti ada emas semasa jual beli berlaku.
Dalam jual beli online yang tidak membabitkan emas fizikal, maka kebiasaannya ia melibatkan pasaran hadapan yang mana tuan tidak perlu membayar penuh harga emas, penjual pun tidak perlu memiliki emas pada transaksi online itu berlaku.
Kita hanya perlu membuat tekaan turun naik harga semata-mata. Kalau betul kita untung, kalau salah kita rugi.
Maka hukumnya sama dengan pelaburan forex iaitu pelaburan sebegitu adalah haram kerana pelaburan secara online sebegitu tidak memenuhi syarat jual beli emas atau/ matawang yang halal di sisi Islam.

BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI