Tuesday 10 April 2012

Elak Tertipu Beli Emas


IPOH: Penipuan sukar dikesan apabila ada pemilik kedai barang kemas didapati sengaja menjual emas murah kepada orang ramai dengan mendakwa ia emas gred 916 menyebabkan ramai terpedaya.

Kebanyakannya mangsa yang tidak pakar berhubung kualiti emas ini, ditipu `bulat-bulat’ dan membayar harga tinggi bagi gred emas murah yang dijual terutama ketika musim perayaan.

Terbaru seorang anggota Polis Gerakan Am (PGA), Mohd Zaidi Zaid, 27, menjadi mangsa apabila dia dan isteri, Salimah Jaafar, 27, membeli anting-anting emas di premis menjual emas berhampiran pusat beli belah di sini.

Mangsa berkata, dia dan isteri ditunjukkan anting-anting emas pemilik premis yang didakwa ia emas tulen gred 916 berharga RM290.

“Saya dan isteri yang menyangka emas itu gred tinggi, membelinya sebelum diberikan sijil dan resit lelaki berkenaan.

“Penipuan hanya terbongkar apabila kakitangan Ar-Rahnu sebuah bank di sini melakukan pemeriksaan dan mengesahkan emas terbabit bukan dari gred 916,” katanya.

Menurutnya, dia meminta penjelasan pemilik kedai emas terbabit namun tidak mendapat jawapan memuaskan.

“Berikutan itu saya segera ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Ipoh untuk membuat aduan berhubung kes itu bulan lalu,” katanya semalam.

Difahamkan, penolong pegawai penguatkuasa KPDNKK telah menghantar anting-anting emas itu ke Jabatan Mineral Dan Geosains Perak untuk dianalisis dan Jabatan Mineral Dan Geosains mengeluarkan kenyataan rasmi pada 6 Mei lalu, bahawa anting-anting berkenaan adalah emas gred 850 dan 870.

Berikutan penipuan itu, KPDNKK mendakwa pemilik kedai emas berusia 40-an itu kerana kesalahan cuba menipu serta memalsukan maklumat pembelian kepada pelanggan. Susulan itu, Presiden Tribunal Pengguna, Quaik Chong Yu yang mengadili perbicaraan kes itu pagi semalam, menangguhkan kes tuntutan mangsa sehingga kes tertuduh dengan KPDNKK menemui jalan penyelesaian.- Harian Metro

No comments:

Post a Comment