Monday 22 October 2012

Curi Emas : 21 Kuil di Perak Dipecah Masuk


IPOH: Sebanyak 21 buah kuil Hindu di beberapa daerah di negeri ini telah dipecah masuk dan emas di bawah patung berhala kuil terlibat didapati hilang. Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata kejadian itu dipercayai dilakukan oleh satu sindiket sejak tiga minggu lepas.
“Polis menerima 21 laporan berhubung kes tersebut membabitkan beberapa kuil Hindu di Selama, Kuala Kangsar dan Sungai Siput,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di sini, hari ini. Katanya kejadian itu berlaku pada waktu malam dan hanya disedari penjaga kuil pada waktu pagi keesokan hari. Bagaimanapun, katanya jumlah kerugian masih belum diketahui.
Mohd Shukri menjelaskan bahawa kes tersebut tidak ada kaitan dengan isu perkauman atau keagamaan dan kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes jenayah. Sehubungan itu, beliau meminta penjaga kuil supaya bekerjasama dengan polis yang melakukan rondaan bagi memastikan penjenayah terbabit dapat diberkas.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis sedang menyiasat laporan berhubung beberapa papan iklan yang memaparkan wajah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sekitar Manjung yang disimbah cat merah, semalam.
Katanya polis menerima satu laporan berhubung kejadian itu semalam dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 47 Kanun Keseksaan kerana khianat.
“Polis masih menjalankan siasatan dan belum ada tangkapan dibuat. Mereka yang terlibat melakukan perkara itu tidak akan terlepas daripada undang-undang,” katanya.

BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI

No comments:

Post a Comment