Sunday 13 January 2013

Pelabur Saham Emas Masih Belum Terima Dividen Pada Disember



BEBERAPA pelabur saham emas dalam syarikat Virgin Gold Mining Corporation (VGMC) masih belum menerima dividen yang dijanjikan pada bulan lalu.
Mereka juga dimaklumkan baru-baru ini bahawa rancangan syarikat itu disenaraikan di sebuah bursa saham pada tahun ini akan ditangguhkan kepada 2014.
Pada Oktober lalu, Berita Harian melaporkan beberapa pelabur yang mempersoalkan kesahihan firma berpangkalan di Panama itu apabila ia menghentikan bayaran dividen sejak September lalu, atas sebab “membuat penyusunan semula sebagai persiapan untuk disenaraikan di sebuah bursa saham”.
Menurut VGMC, semua pelaburan dipindahkan ke sebuah dana baru bagi tujuan IPO dan mereka yang ingin meneruskan pelaburan dalam dana baru itu akan menerima semula dividen mereka pada 1 Disember lalu. Dividen ini akan dimasukkan dalam akaun online VGMC, namun ia dilaburkan semula ke dana baru itu. Pelabur tidak akan dapat mengeluarkan dividen tersebut.
Sumber-sumber terbaru Ekoniaga menyatakan seorang pelabur membuat aduan polis terhadap firma itu namun tiada butiran lanjut mengenainya.
Salah seorang pelabur yang belum menerima sebarang dividen pada bulan lalu adalah personaliti media terkenal, Encik Fahmi Rais, yang melabur $7,000 dalam firma itu. Beliau terus hampa dengan VGMC yang sering bertukar-tukar rancangan.
“Ia mendakwa telus dengan pelaburnya tetapi saya tidak melihat ketelusan itu kerana sehingga sekarang nampaknya dividen yang dijanjikan pun tidak kelihatan apabila saya periksa akaun online VGMC.
“Kami juga diberitahu bahawa rancangan IPO akan dilaksanakan pada 2014 dan bukan 2013 sebagaimana yang diumumkan sebelum ini. Nampaknya kami kena tunggu setahun lagi untuk mengetahui perkembangan pelaburan kami,” ujarnya.
Walaupun dapat melihat nilai saham emas yang melonjak di laman web VGMC, katanya, “ini hanya nilai kertas yang tidak bermakna” selagi beliau tidak dapat mengeluarkan wang pelaburannya.
VGMC melantik sebuah firma pengurusan dana, Asia Gold Mining Asset Corporation (Agmac), menguruskan dana saham emas tersebut.
Dana saham emas itu juga ditukarkan kepada opsyen dan pelabur diberi pilihan sama ada mengekalkannya sebagai opsyen atau menukarkan kepada saham biasa.
Jika kekal sebagai opsyen, para pelabur diberitahu bahawa mereka boleh mendapatkan semula wang tunai mereka setelah firma itu berjaya disenaraikan. Bagaimanapun jangka waktu mendapatkan wang tunai itu masih menjadi tanda tanya para pelabur.
Seorang pelabur yang dikenali sebagai Encik Zam terkejut dengan perubahan mendadak itu.
“Sudahlah kita tidak menerima dividen pada Disember lalu tetapi sekarang mereka merumitkan lagi keadaan dengan perubahan ini.
“Seperti pelabur lain, saya juga keliru dengan perubahan ini, namun pada tahap ini kami tidak mempunyai banyak pilihan kecuali mengikut sahaja,” ujar pedagang yang melaburkan sebanyak $10,000.
Bagi pasangan pelabur suami isteri yang melabur $50,000, mereka hanya menantikan maklumat terkini daripada teman pelabur yang menarik mereka ke dalam skim itu.
“Kami hanya menerima dividen sekali sahaja selepas itu senyap sahaja dan kami pun tertanya-tanya sehingga hari ini. Kami hanya dapat menunggu firma itu tawarkan IPO tetapi sampai bila? Kami memang harap mendapat semula wang kami,” kata isteri pelabur itu.
Apabila ditanya tentang rasa kurang senang pelabur itu, salah seorang pelabur terawal VGMC, Hajah Norati Abdul Jalil, berkata menerusi SMS bahawa beliau tidak mempunyai komen selanjutnya.
“Kini VGMC dalam proses IPO dan ini akan mengambil masa 12 hingga 15 bulan. Mereka yang tidak puas hati harus membaca pengumuman terkini dan mendapat maklumat daripada teman pelabur yang menarik mereka,” katanya.
Hajah Norati, bagaimanapun, masih menegaskan “semua pelaburan mereka sudah dilaburkan semula dan akan menerima semua wang selepas penyenaraian VGMC”.
Seramai 8,000 pelabur setempat melabur dalam VGMC yang berada di bawah senarai amaran pelabur di beberapa negara termasuk Singapura.
Berdasarkan jumlah minimum 2,000 saham yang perlu dilabur dan harga satu saham sekitar AS$1.7 ($2.10), ini bermakna jumlah pelaburan minimum yang sudah dipindahkan kepada firma itu boleh mencapai $33.6 juta.

BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI

No comments:

Post a Comment