Monday, 22 October 2012

Kenyataan Firma Pelaburan Emas Sedang Direkodkan


PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mengambil kenyataan daripada pihakyang terbabit selepas mereka memulakan penyiasatan secara besar-besaran terhadap beberapa firma pelaburan emas.
Bank Negara berkata agensi yang berkaitan kini sedang merekodkan kenyataan daripada pengarah, pengurus kanan firma, ejen-ejen dan pelabur.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, bank pusat itu menambah bahawa analisis terperinci dan menyeluruh sedang dijalankan ke atas aset dan liabiliti syarikat yang terlibat.
“Pengarah dan pegawai kanan syarikat-syarikat yang terlibat juga diarahkan supaya mengisytiharkan harta mereka di Malaysia dan di luar negara, termasuk pasangan masing-masing dan proksi mereka,” katanya.
Awal bulan ini, BNM bersama pihak polis, Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia menyerbu syarikat pelaburan emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd atas kesalahan mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan gambaran yang salah termasuk deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen.
Sehari selepas itu, tiga lagi firma pelaburan emas turut diserbu atas kesalahan yang sama mereka adalah, Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd.
“Aset dan akaun yang disita hasil daripada serbuan tersebut disimpan bagi memudahkan siasatan ke atas syarikat yang disyaki melakukan kesalahan dan untuk melindungi kepentingan pelabur,” katanya.
Bank pusat itu juga menasihatkan orang awam untuk berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi dalam jangka masa yang pendek yang memberikan jaminan pulangan bagi jumlah pokok yang dilaburkan.
“Orang ramai dinasihati supaya menyemak dengan agensi berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa,” tambahnya.
Untuk maklumat lanjur, orang ramai diminta menghubungi pusat khidmat pelanggan BNM di talian 1-300-88-5465.

BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI

Teori Konspirasi Emas dan Bank


klik untuk besarkan paparan imej

Teori konspirasi: jika orang ramai mula berpindah pada emas (seperti negeri Kelantan) sebagai tempat simpanan (reservoir), bank- bank di Malaysia akan ada defisit dari segi simpanan. Oleh itu, Bank tidak ada modal untuk buat loan sebab rakyat Malaysia tak menabung di Bank tapi membuat simpanan emas.
Inilah dinamakan sistem KAPITALIS di mana keuntungan melalui hutang. Beli emas untuk untung/rugi itu cerita lain. Tapi jika semua orang dah tak simpan duit kat bank, bank nak berniaga pakai duit apa??
Cth: BNM akan beri wang RM10 juta kepada Bank A dengan harapan Bank A memberi loan kepada orang ramai dan dengan kadar faedah 5% setahun, keuntungan BNM ialah RM500,000 setahun.. Jika pinjaman 20 tahun (RM10 juta + RM10 juta = RM20 juta).
Jika orang ramai beralih kepda simpanan emas, jadi tiada pulangan keuntungan dari pihak bank dan bank terpaksa mencetak duit fiat utk dapatkan keuntungan dan ini akan menyebabkan inflasi.
Bila berlaku inflasi akan memberi kesan kepada kenaikkan harga barang, rumah dan sebagainya.

BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI

Curi Emas : 21 Kuil di Perak Dipecah Masuk


IPOH: Sebanyak 21 buah kuil Hindu di beberapa daerah di negeri ini telah dipecah masuk dan emas di bawah patung berhala kuil terlibat didapati hilang. Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata kejadian itu dipercayai dilakukan oleh satu sindiket sejak tiga minggu lepas.
“Polis menerima 21 laporan berhubung kes tersebut membabitkan beberapa kuil Hindu di Selama, Kuala Kangsar dan Sungai Siput,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di sini, hari ini. Katanya kejadian itu berlaku pada waktu malam dan hanya disedari penjaga kuil pada waktu pagi keesokan hari. Bagaimanapun, katanya jumlah kerugian masih belum diketahui.
Mohd Shukri menjelaskan bahawa kes tersebut tidak ada kaitan dengan isu perkauman atau keagamaan dan kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes jenayah. Sehubungan itu, beliau meminta penjaga kuil supaya bekerjasama dengan polis yang melakukan rondaan bagi memastikan penjenayah terbabit dapat diberkas.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis sedang menyiasat laporan berhubung beberapa papan iklan yang memaparkan wajah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sekitar Manjung yang disimbah cat merah, semalam.
Katanya polis menerima satu laporan berhubung kejadian itu semalam dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 47 Kanun Keseksaan kerana khianat.
“Polis masih menjalankan siasatan dan belum ada tangkapan dibuat. Mereka yang terlibat melakukan perkara itu tidak akan terlepas daripada undang-undang,” katanya.

BERSAMA MEMACUKAN EKONOMI